Monday, 19 December 2011

Robot Mikro di Dalam Pembuluh Darah



   Angin ahmar atau strok merupakan penyakit yang sangat digeruni. Strok berpunca dari masalah arteri atau pembuluh darah yang tersumbat dan menyukarkan pengaliran darah dengan lancar sampai ke otak. Sekatan ataupun halangan darah sampai ke otak menyebabkan otak tidak mendapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi dan boleh mengakibatkan kematian sekiranya tidak dilakukan rawatan kecemasan.
Untuk merawat penyakit angin ahmar yang kronik, doktor dan pakar surgeri biasanya menggunakan kaedah pembedahan yang kompleks melibatkan pelebaran salur darah yang sempit atau memindahkan salur darah yang mengalami masalah ke laluan alternatif yang lain (bypass). Pembedahan saraf otak merupakan pembedahan berisiko tinggi yang boleh mendatangkan trauma kepada pesakit. Ia merupakan jalan terakhir bagi menyelamatkan pesakit seperti yang dialami oleh golongan berumur yang menderita penyakit angin ahmar. Proses pembedahan salur darah otak merupakan kaedah yang sangat rumit dan pakar-pakar dalam bidang teknologi perubatan dan kejuruteraan tepat (precision engineering) sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk mengurangi masalah yang dihadapi.
Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor James Friend dari Micro/Nanophysics Research Laboratory dari University Monash, Australia telah menjalankan satu kajian menghasilkan robot mikro yang dapat dimasukkan ke dalam pembuluh darah bagi mengesan dan merawat penyakit kronik seperti angin ahmar, masalah jantung, Alzhemier dan sebagainya. Ketika artikel ini ditulis, mereka sedang berada di peringkat akhir dalam proses merekabentuk dan melakukan ujian memasukkan robot mikro tersebut ke dalam arteri darah haiwan sebagai sampel ujikaji. Kemajuan hasil penyelidikan tersebut telah pun diterbitkan dalam sebuah jurnal terkemuka iaitu Institute of Physics Publishing’s (IOP), Journal of Micromechanics and Microengineering. Di dalam jurnal tersebut, mereka menerangkan dengan terperinci bagaimana sejenis bahan yang dikenali sebagai bahan piezoelektrik yang digunakan sebagai komponen paling utama untuk menghasilkan robot mikro yang hanya bersaiz 250 mikrometer, iaitu kira-kira bersaiz sebutir garam yang dapat bergerak atau berenang di dalam arteri darah.

No comments:

Post a Comment