Monday, 19 December 2011

MULTIMEDIA DAN TEKNOLOGI KOMUNIKASI DALAM PENGAJARAN

Multimedia Dalam Pendidikan

            Di dalam dunia teknologi maklumat masa kini, di mana kita sering dihujani dengan maklumat yang begitu banyak, adalah amat penting bagi kita untuk menguruskan maklumat-maklumat ini supaya ianya memberi makna kepada kita. Jika tidak, maklumat ini tidak dapat digunakan untuk kebaikan dan tidak memberi apa-apa manfaat kepada kita. Kita yang berada di dalam dunia pendidikan ini perlulah melihat kepada penggunaan teknologi yang canggih dalam membentuk sistem yang dapat membantu memberi pengetahuan yang berguna kepada pelajar-pelajar.

            Dalam era multimedia ini, adalah lebih penting bagi kita untuk melihat kepada cara-cara penggunaan multimedia untuk bukan sahaja memberi pengetahuan yang lebih tetapi juga untuk menggerakkan minda pelajar supaya tercetusnya idea-idea baru yang akan memberi pengetahuan baru kepada mereka. Sesungguhnya kewujudan sistem yang canggih tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa jika ianya tidak menggunakan kaedah yang betul untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada penggunanya.

            Dalam dunia pendidikan subjek utamanya adalah guru dan pelajar. Adanya guru kerana adanya pelajar. Guru dan pelajar sama-sama telibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran adalah suatu proses dua hala di mana guru mengajar atau menyampaikan ilmu dan pelajar belajar iaitu menerima atau menimba ilmu.

            Dalam sesuatu pengajaran secara tradisi, walaupun tidak dinafikan akan kejayaan yang telah diperolehi, namun ianya juga membawa bersamanya pelbagai masalah dan kekangan. Komunikasi sehala banyak berlaku di mana  seseorang guru berperanan sebagai penyalur maklumat manakala pelajar hanya perlu duduk, mendengar dan mencatatkan isi penting yang diperlukan. Penyediaan alat bantu mengajar juga adalah terhad kepada bahan-bahan yang statik sifatnya. Ini boleh mengurangkan minat pelajar terhadap sesuatu matapelajaran.

Kehadiran komputer serta teknologi multimedia di dalam bidang pendidikan mampu membantu meringankan beban dan kekangan yang ada dalam pengajaran dan pembelajaran tradisi. Bagaimanakah penggunaan multimedia ini dapat menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas?


Mudah Memahami Konsep

            Penggunaan multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep. Dengan adanya gabungan teks, grafik, audio, video dan animasi, pelajar lebih mudah memahami konsep yang ingin disampaikan oleh guru. Sebagai contoh, dalam mengajar Sistem Pencernaan Manusia, guru boleh menggunakan teks, grafik dan animasi bagi menunjukkan apa yang berlaku kepada makanan yang dimakan oleh seseorang bermula daripada makanan itu dimasukkan ke dalam mulut sehinggalah ia diserap ke dinding usus dan bahan buangan dikeluarkan dari badan sebagai najis.

            Dalam topik Sudut Dongakan dan Sudut Tunduk dalam Matematik Tingkatan Empat, misalnya, penggunaan gambar dan video boleh digunakan bagi menunjukkan penggunaan konsep nisbah trigonometri dan sudut dongakan dan sudut tunduk untuk menyelesaikan masalah harian seperti menganggar tinggi tiang bendera. Dengan cara ini, konsep yang dibina dapat diperkukuhkan lagi.

Mengingat Lebih Lama

            Dalam dunia pendidikan, penilaian dalam bentuk ujian dan peperiksaan amat penting bagi menguji keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Keputusan peperiksaan yang cemerlang amat penting bagi pelajar untuk melayakkan diri mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

            Setiap pelajar mempunyai kemampuan pembelajaran yang berbeza (Gardner, 1993). Pelajar yang pencapaiannya sederhana dalam sesuatu mata pelajaran perlu dibantu bagi membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti PMR dan SPM. Dalam zaman era teknologi maklumat ini, multimedia dapat membantu pelajar ke arah itu. Konsep yang digunakan ialah ‘membawa guru balik ke rumah pelajar bagi membantu pelajar membuat ulangkaji’.

            Menurut Gagne (1985) untuk memahami sesuatu konsep pembelajaran pelajar perlu mengulangi pelajaran itu beberapa kali. Kaedah pembelajaran berulang menjadikan sesuatu perkara itu mudah difahami dan diingati lebih lama. Penghasilan VCD Fokus Skrin, dengan merakam penerangan guru mengenai sesuatu konsep dan rakaman dibuat  berfokus kepada skrin komputer atau LCD.

            Pelajar seolah-olah melihat penerangan guru kepada sesuatu konsep di rumah dan jika kurang faham boleh diulangtayang seberapa banyak kali yang dikehendaki sehingga faham. Ini dapat mengatasi defisit pembelajaran di dalam kelas. VCD ini boleh digunakan juga apabila hampir dengan peperiksaan untuk mengingat kembali konsep yang telah diajar.

Menarik minat pelajar

            Sesetengah mata pelajaran seperti Matematik, merupakan suatu mata pelajaran yang mencabar bagi kebanyakan pelajar. Penggunaan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dapat menarik minat pelajar kepada subjek berkenaan. Multimedia memudahkan pemahaman-pemahaman idea-idea Matematik yang abstrak. Ia membantu dalam penyiasatan masalah Matematik dan menunjukkan maklumbalas perubahan bentuk objek atau ukuran secara spontan. Contohnya, dengan perisian Geometer’s Sketchpad (GSP), perubahan satu titik pada objek akan mengubah bentuk objek tersebut, perubahan nilai data akan mengubah nilai data berkaitan secara spontan dalam MS-Excel.

            Guru perlu menunujukkan sikap yang positif terhadap matematik kerana ia akan memberikan kesan kepada sikap pelajar. Guru yang menunjukkan minat terhadap matematik akan mendorong pelajar untuk meminatinya. Biasanya minat pelajar berdasarkan sikap dan aspirasi yang ditunjukkan oleh guru. Guru perlu melibatkan diri dalam pembelajaran pelajar dan perlu menampakkan bahawa mereka berminat dalam pembelajaran pelajar mereka. Ini dapat dilakukan dengan menggunakan teknologi seperti komputer dan internet. Para guru boleh mendapatkan maklumat daripada laman-laman web matematik yang ada dan menggabungkannya dengan konsep yang diberikan dalam buku teks dan buku rujukan dalam membina  bahan pengajaran sendiri dengan menggunakan perisian GSP dan MS-Powerpoint. Dengan bahan pengajaran dalam bentuk multimedia ini dapat mengurangkan rasa bosan pelajar terhadap matematik.

Penjimatan masa

            Masa itu emas. Ia sangat berharga terutama  kepada seorang guru dan pelajar. Melalui bahan multimedia yang telah disediakan sendiri atau melalui bahan pengajaran yang dibekalkan kepada sekolah, guru dapat menjimatkan masa melukis rajah yang agak kompleks di atas papan tulis. Contohnya dalam matapelajaran Biologi, guru tidak perlu melukis rajah jantung di papan tulis. Dengan mudah rajah jantung boleh diperolehi daripada internet dan guru hanya perlu muat turun rajah dan maklumat tersebut seterusnya boleh ditayangkan kepada pelajar di dalam kelas menggunakan projektor LCD. Bahan ini boleh digunakan untuk mengajar kelas-kelas yang lain atau boleh digunakan oleh guru-guru yang lain dengan mudah dan cepat.

            Dengan menggunakan kaedah auditori dan visual dalam mempersembahkan maklumat, pelajar dapat memproses maklumat itu dengan lebih cepat dan dengan itu proses pembelajaran dapat digalakkan.(Michelich.V.,2001)

Kaedah mengajar berpusatkan murid – guru bertindak sebagai pembimbing

            Menurut kajian yang dilakukan Al Ghamdi (1987), mendapati bahawa perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip Matematik dengan mudah dan efektif.

            Menurut Key Curriculum Press (2001) Perisian Geometer’s Skechpad, GSP ialah sebuah sistem perisian untuk membina , meneroka dan menganalisis secara luas dalam bidang Matematik. Menggunakan perisian ini kita boleh meneroka dan membina model Matematik interaktif daripada penyiasatan yang asas hingga ilustrasi yang kompleks. Sebagai contoh guru boleh membimbing pelajar menyiasat nisbah perimeter kepada diameter bagi beberapa buah bulatan untuk mendapatkan nilai π iaitu 3.142, meneroka soalan-soalan berkaitan dengan tangent sebuah bulatan dan masalah-masalah terbuka. Pelajar boleh melakukan pembinaan geometri dan mereka sendiri menentukan formula untuk menghuraikan perhubungan-perhubungan yang mereka temui. Selain daripada itu pelajar boleh melihat dengan jelas bagaimana penjelmaan yang terdiri daripada translasi, pantulan, putaran dan pembesaran berlaku, menerangkan sifat-sifat setiap penjelmaan itu secara meneroka dan menyiasat. Ini boleh menarik minat pelajar terhadap keindahan matematik dan cuba mengaitkannya dengan dunia sebenar.

6 comments:

  1. sy setuju dengan cadangan yang menyatakan bahawa mudah memahami konsep, mengingat lebih lama, menarik minat pelajar dan penjimatan masa sebagai cara penggunaan multimedia bagi menggalakkan proses pembelajaran dan pengajaran.

    ReplyDelete
  2. memang tidak dapat dinafikan bahawa multimedia menjadi medium penting dalam pembelajaran kini..ini membuktikan bahawa setiap golongan itu telah menjadi celik IT dan mampu mengenali IT dengan baik..segala idea di atas, saya bersetuju tanpa ragu..kerana ini adalah realiti dunia teknologi masa kini..

    Mohamad Firdaus Bin Nizamuddin
    A 128491
    Tutor Rabu 10-12.

    ReplyDelete
  3. saya menyokong sepenuhnya..penggunaan teknologi dalam pendidikan sangat penting bagi menarik minat pelajar untuk memahami proses pembelajaran....penggunaan teknologi memberi banyak manfaat kepada pengajar kerana tidak perlu membawa buku untuk mengajar.... selain memudahkan untuk menhurai lebih jelas topik yang dibincangkan

    ReplyDelete
  4. sy jugak setuju..penggunaan teknologi pada hari ini amat2 penting untuk memudahkan kerja dan ia juga sgt bermanfaat kepada para pelajar jika ia digunakan dgn cara y betul..penggunaan teknologi juga penting krn ia boleh menarik minat pelajar untuk belajar..

    ReplyDelete
  5. bagus n betul 2..kadang2 teknologi ni bagus dalam pembelajaran...ia juga mampu untuk memberi pemahaman yang lebih kepada pelajar....dan juga merupakan gedung maklumat..

    ReplyDelete
  6. saya bersetuju dengan pendapat diatas kerana dunia sekarang amat mementingkan teknologi dalam kehidupan terutamanya bidang pendidikan.

    ReplyDelete